i-Sinar Atau i-Malap? Pemuda UMNO Tubuh Sekretariat Khas Kumpul Luahan Rakyat
KUALA LUMPUR, 3 Dis – i-Sinar atau i-Malap? Soal Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Demikian persoalan ringkas yang ditimbulkan oleh Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Dr Asyraf memberi reaksi demikian mengenai kenyataan terbaru Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengumumkan kriteria dan butiran terperinci mengenai kaedah pengeluaran i-Sinar daripada Akaun 1.
“Sepintas lalu nampaknya masih tidak memenuhi apa yang diminta rakyat agar dapat dikeluarkan secara sekaligus RM10,000 maksimum.
“Juga masih terhalang dengan syarat-syarat meresahkan rakyat,” katanya lagi.
Justeru dalam media sosialnya Dr Asyraf turut memohon pandangan netizen mengenai kenyataan KWSP itu.
“Apa pandangan semua? Kami mahu mengumpul pandangan-pandangan rakyat mengenai kenyataan terbaru KWSP ini,” tegasnya lagi.
Dalam ruangan komen statusnya itu juga Dr Asyraf berkata semua kes-kes yang dikongsikan oleh netizen beliau baca satu persatu.
“Malah saya sudah wujudkan sekretariat khas di bawah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mengumpulkan semua isu-isu yang dibangkitkan dan diluahkan oleh semua di sini.
“Insya-Allah kami akan angkat suara rakyat ini ke peringkat tertinggi kerajaan dengan dokongan kepimpinan tertinggi UMNO dan BN (Barisan Nasional) juga,” katanya.
Justeru tegasnya, Pemuda UMNO akan terus bersuara dan berjuang bagi pihak rakyat. – UMNO ONLINE