Kementerian Kerja Raya jalin kerjasama lahirkan profesion teknikal pelbagai bidang

05/12/2020 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Kementerian Kerja Raya berhasrat untuk bekerjasama dengan banyak pihak termasuk kementerian lain, agensi dan universiti bagi melahirkan lebih ramai profesion teknikal dalam pelbagai sektor yang mampu dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata profesion teknikal tidak hanya tertumpu kepada bidang pembinaan dan kejuruteraan sebaliknya diperlukan dalam banyak bidang penting dalam pembangunan ekonomi negara.



“Sering kali orang salah faham, bila katakan teknikal ia bukan sahaja tertumpu kepada JKR (Jabatan Kerja Raya), arkitek dan jurutera tapi kita ada misalnya biokejuruteraan dan sektor perubatan serta banyak lagi.

“Sebab itu kita bekerjasama dengan kementerian (dan pihak) lain, Kementerian Alam Sekitar dan Air misalnya mempunyai orang teknikal yang pakar dalam bidang air,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia sempena Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 hari ini.

Fadillah berkata sempena sambutan yang diraikan bermula hari ini hingga 30 Dis, Kementerian Kerja Raya turut mengadakan program di peringkat sekolah untuk memberi pendedahan kepada generasi muda.

“Di peringkat universiti, kita ada UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan sebagainya yang mana lebih 20 webinar akan dijalankan secara maya membincangkan pelbagai topik menarik oleh pakar dan pemain industri,” katanya.



Fadillah berkata kerajaan juga berhasrat melahirkan lebih ramai profesional pelbagai bidang teknikal menerusi pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antaranya Akademi Binaan Malaysia yang telah melahirkan lebih 200,000 graduan.

Katanya, kerajaan juga menyasarkan untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang bukan sekadar memiliki kemahiran teknikal malah berupaya menjalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D) baharu.

Beliau juga berharap program tersebut akan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan lebih ramai profesion teknikal kepada negara serta menarik minat lebih ramai menceburi bidang tersebut.

HPTN disambut setiap Sabtu pertama bulan Disember bagi menghargai jasa profesion teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur, pembangunan dan permodenan negara.



Sambutan tahun ini bertemakan ‘Masa Depan Adalah Kita’ disambut secara maya susulan COVID-19 bermula hari ini hingga 30 Dis.

KPF MELABUR DALAM BIDANG PEMBUATAN KERTAS MESRA ALAM DI CHINI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button