Lelaki dikhuatiri hilang, bot fiber karam di Tuaran

06/12/2020 04:41 PM

KOTA KINABALU, 6 Dis — Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas bot fiber yang dinaiki bersama tiga rakannya karam di muara Sungai Bolong, dekat Tuaran, pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata dalam kejadian 9.23 pagi itu, mangsa Manji Baka, 50, dikatakan keluar memancing bersama tiga rakannya di sungai berkenaan.



“Bagaimanapun, bot mereka telah dipukul ombak sehingga terbalik. Tiga rakannya telah terselamat manakala mangsa karam bersama bot yang dinaiki. Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah diaktifkan kira-kira 10.30 pagi tadi,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata bot ronda APMM Kilat 39 telah digerakkan ke lokasi pencarian bersama aset agensi-agensi lain antaranya bot ronda PGR 6 daripada Polis Diraja Malaysia dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah.

Keluasan pencarian mangsa merangkumi lima batu nautika persegi dari lokasi terakhir bot mangsa dilaporkan karam, katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli turut mengingatkan semua komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan laut dan cuaca semasa sekiranya ingin melakukan aktiviti di laut, selain dinasihatkan keluar berkumpulan dan harus memakai jaket keselamatan.



“Komuniti maritim juga disaran untuk memiliki ‘Personal Locator Becon’, selain perlu membawa bersama alat keselamatan lain seperti wisel dan lampu suluh,” katanya.

— BERNAMA

Mayat kedua daripada empat mangsa bot karam di perairan Selangor ditemukan – APMM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button