Polis terima lapan laporan berhubung pendakwah selebriti terpalit serangan seksual


Datuk Fadzil Ahmat

06/12/2020 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Polis hari mengesahkan menerima keseluruhan lapan laporan membabitkan pendakwah selebriti yang didakwa melakukan jenayah seksual dan kini dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata bagaimanapun dua daripada laporan polis yang diterima itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Empat laporan diterima di Shah Alam, sementara dua lagi di Petaling Jaya, manakala dua yang diklasifikasikan sebagai NFA ialah masing-masing satu di Shah Alam dan Subang Jaya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan menerima dua laporan berkaitan suspek.

“Laporan membabitkan kes rogol dan cabul serta seks luar tabii,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek esok bagi membantu siasatan berkaitan dua laporan polis berkenaan.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada 26 Nov lepas susulan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam dan dia dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula 27 Nov lalu bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dilanjutkan lima hari lagi bermula 2 Dis hingga hari ini selepas seorang lagi mangsa membuat laporan polis di IPD berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *