PAS Perak akan pertahan kerajaan PN


Razman Zakaria

05/12/2020 09:57 PM

IPOH, 5 Dis — PAS Perak menzahirkan komitmen untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu susulan kemelut politik yang berlaku ketika ini, kata Pesuruhjayanya Razman Zakaria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata ini berdasarkan keputusan pucuk pimpinan untuk menyokong kerajaan yang telah dibina bersama atas permuafakatan antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.



“Mantan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Tuanku bertitah supaya terima mana-mana calon (Menteri Besar), jadi kita telah setuju untuk mempertahankan kerajaan PN yang telah kita persetujui bersama.

“Hubungan antara PAS dan UMNO juga seperti biasa. Prinsip PAS bahawa kita tidak akan bersama Bersatu sahaja tanpa UMNO dan tidak akan bersama UMNO sahaja tanpa Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Ahmad Faizal di kediaman lama Menteri Besar di sini hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media itu, Ahmad Faizal mengumumkan bahawa beliau telah menyembahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dan seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kepada Sultan Nazrin ketika menghadap baginda di Istana Kinta di sini pada kira-kira 3 petang tadi.

Ditanya sama ada krisis yang berlaku ketika ini hanya akan membawa kepada pertukaran Menteri Besar, Razman berkata perkara itu terserah kepada interpretasi masing-masing.



“Terserahlah sama ada pertukaran Menteri Besar itu hendak diinterpretasikan sebagai kejatuhan kerajaan tetapi hakikatnya, apabila Menteri Besar turun maka semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga turun dan seolah-olah ada kerajaan baharu.

“Peletakan jawatan Ahmad Faizal mengikut perlembagaan secara automatik menyebabkan barisan exco kerajaan negeri juga tergugur secara bersama, jadi Perak kini tidak mempunyai kerajaan dan kita tunggu titah Tuanku siapa yang mempunyai majoriti untuk dilantik menjadi kerajaan,” katanya.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal memperoleh sokongan dalam usul undi percaya ahli Dewan kepada Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan mahu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3) manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Ahmad Faizal letak jawatan selepas MB baharu dipilih

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker