Tiada halangan dalam ‘kamus’ sukarelawan Malaysia untuk terus berbakti
05/12/2020 11:47 PM
Oleh Syed Azwan Syed Ali
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia awal tahun ini, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia telah membuktikan tiada halangan dalam ‘kamus kehidupan’ mereka untuk terus berbakti kepada kelompok memerlukan.
Kelompok memerlukan itu tidak terhad kepada mereka yang berada dalam negara, malah pelarian dan kelompok terjejas di luar negara, termasuk di zon konflik dan bencana, turut dibantu.
Mereka sanggup berdepan dengan pelbagai risiko, termasuk ancaman COVID-19, semata-mata untuk memastikan kelompok memerlukan diberi perhatian, terutama dalam menyediakan keperluan asas makanan, perubatan dan bantuan yang lain.
“Sebagai seorang Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang memerlukan. Apa saja halangan (termasuk cabaran COVID-19), kita akan cuba atasi untuk berkhidmat,” kata Bendahari Kehormat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Faris Hussain kepada Bernama sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa hari ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu, seramai 10 sukarelawan MAPIM, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery kini berada di dalam wilayah bergolak Syria.
Sukarelawan MAPIM yang berlepas ke Turki sejak November lalu untuk memasuki Syria, antara lain dalam misi kemanusiaan mengagihkan 30 kontena bantuan musim sejuk (pakaian musim sejuk, selimut dan makanan), merasmikan sekolah dibina MAPIM di Idlib Syria, merasmikan kampung wakaf Malaysia untuk 1,000 keluarga pelarian Syria dan membina kilang roti.
Sepanjang tahun ini, komitmen sukarelawan Malaysia di arena antarabangsa jelas terbukti apabila beberapa NGO Malaysia, termasuk Malaysia For Syria (MFS), Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menghantar misi kemanusiaan ke luar negara walaupun berdepan risiko dijangkiti COVID-19.
Pada Ogos lalu, misalnya, ketiga-tiga NGO terbabit telah menghantar sukarelawan ke Lubnan selama dua minggu dengan bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM200,000 yang terdiri daripada bantuan makanan, perubatan dan membaiki rumah ketika berlakunya insiden letupan besar di Pelabuhan Beirut.
“Jujurnya, misi ke Lubnan pada Ogos lalu adalah tanda terima kasih rakyat Malaysia kepada warga Lubnan yang selama ini membantu dan memberi perlindungan kepada pelarian Syria dan Palestin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFS Syahrir Azfar.
Syahrir berkata sejak dua minggu lalu, seramai 50 sukarelawan anak muda Malaysia telah terbabit dalam urusan penyediaan bantuan musim sejuk membabitkan empat kontena dengan nilai bantuan RM1 juta.
Bantuan musim sejuk yang mengandungi pakaian musim sejuk, lampin pakai buang dan makanan itu disediakan dengan kerjasama MFS, GPM, MVM, Cinta Syria Malaysia (CSM), Peduli Ihsan Malaysia, MyFund Action, Rizk Ar-Rahman dan NGO Haluan.
“Empat kontena ini akan dihantar dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Beirut. Kita juga akan menghantar empat sukarelawan ke Lubnan pada misi kemanusiaan musim sejuk pada Januari nanti,” kata Syahrir yang menceburi bidang sukarelawan sejak lebih 10 tahun lalu.
Tidak hanya menghulur bantuan di persada dunia, Sukarelawan Malaysia juga tidak ketinggalan menabur bakti di dalam negara, misalnya, sukarelawan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Mercy Malaysia yang menggerakkan sukarelawannya membantu petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menangani COVID-19, termasuk di zon merah.
NGO perubatan terbabit turut menyumbang ubat-ubatan, peralatan perubatan dan alat perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka yang sebelum ini pernah mengalami kekurangan bekalan akibat permintaan mendadak di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Uniknya bagi IMARET (dan Mercy Malaysia), kebanyakan sukarelawan kita adalah merupakan barisan hadapan di hospital atau klinik, selepas waktu pejabat, mereka membantu secara sukarela,” kata Koordinator Task Force COVID-19 IMARET Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim.
Katanya, beliau amat berbangga dengan sukarelawan Malaysia kerana ketika dunia diuji dengan pandemik COVID-19, ramai individu tampil ke depan untuk menjadi sukarelawan dan membantu walaupun kehidupan mereka juga terjejas.
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan melipatgandakan kerja ‘komunikasi sukarelawan’ bagi mengoptimumkan peranan kelompok itu dalam situasi menangani pandemik COVID-19 dan juga membangunkan komuniti digital.