COVID-19: Sumbangan MRCB Untuk Petugas Barisan Hadapan Dan Orang Asli

07/12/2020 09:59 AM

Oleh Nor Amirah Mahmuddin

KUALA LUMPUR (Bernama) — Kecekalan dan kesungguhan yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan ‘koronavirus maut’, COVID-19, membuatkan banyak pihak tampil dengan pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban yang mereka hadapi.

Salah satu daripadanya ialah Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang memberi sumbangan pelindung muka dan pelitup muka.

Menurut Sarjan Polis Bantuan MRCB, Mohd Syukri Hussain, sejak Mac lalu, beliau dan beberapa anggota polis bantuan meluangkan masa hampir lapan jam, setiap hari, untuk membuat sendiri pelindung muka serta pelitup muka jenis fabrik yang dimanfaatkan melalui Program Tanggungjawab Sosial (CSR) syarikat itu.

“Walaupun kami bukanlah barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya atau pun hospital, tetapi apabila melihat mereka menggunakan hasil kerja itu, timbul rasa bangga kerana dapat menghulurkan sumbangan ketika negara sedang bergelut memerangi COVID-19,” katanya ketika ditemui di tempat penyimpanan barang MRCB yang dijadikan bilik menjahit di KL Sentral, baru-baru ini.

TANPA PENGALAMAN MENJAHIT

Pada peringkat permulaan, pasukan Mohd Syukri hanya membuat pelindung muka bagi kegunaan petugas dalaman MRCB kerana tidak mempunyai kemahiran dan alatan yang mencukupi untuk pengeluaran yang besar.

“Mula-mula kami hanya mampu untuk membuat 100 keping pelindung muka sehari sehinggalah meningkat kepada 500 keping.

“Pada bulan Mei lepas, di hujung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menghasilkan lebih 3,000 keping pelindung muka yang diedarkan kepada Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia untuk kegunaan petugas barisan hadapan pada ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, kini mereka menumpukan kepada penghasilan topeng pelitup muka pula untuk diedarkan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.

Meskipun, sesetengah anggotanya tidak mempunyai pengalaman menjahit tetapi tetap berdedikasi untuk belajar dan bertungkus-lumus menyiapkan pelitup muka sehingga waktu malam bagi memastikan kualitinya memenuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Syukri menjelaskan, pelitup muka fabrik ini mempunyai fungsi yang sama dengan pelitup muka tiga lapis yang disyorkan KKM dengan lapisan pertama dan terakhir menggunakan kain dan lapisan tengahnya diletakkan penapis dalaman menjadikan ia tidak tiris air.

Pelitup muka itu juga menggunakan fabrik jenis ‘scuba’ yang boleh memeri serta dibuat mengikut saiz sasaran pengguna seperti kanak-kanak sekolah ataupun dewasa.

Menurut Syukri, setiap pelitup muka akan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan ianya tahan lama, selesa, tidak panas serta boleh dibasuh berulang kali tanpa menjejaskan kualiti sebelum pengagihan.

Pada masa ini, Syukri dan kumpulannya mampu menyiapkan kira-kira 150 keping pelitup muka sehari.

UNTUK PENJIMATAN

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan berkata, inisiatif penghasilan pelitup muka jenis fabrik ini tercetus apabila syarikat itu perlu menanggung kos yang tinggi bagi menyediakan bekalan kepada petugas dalaman.

“Di MRCB, petugas dalaman seperti anggota polis bantuan dan pekerja binaan menggunakan kira-kira 3200 keping pelitup muka pakai buang sehari dan sekarang kami jimat sebanyak RM136,512.00 untuk tempoh enam bulan,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di Program Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka, di Pejabat Pendidikan Daerah Bentong baru-baru ini.

Menurut beliau, keadaan itu memberi kesedaran kepada MRCB untuk lebih menghargai usaha gigih yang membabitkan kos, tenaga serta masa yang diperuntukkan oleh kerajaan dan barisan hadapan.

“Jasa dan kegigihan barisan hadapan yang bertugas tanpa henti dalam usaha melandaikan COVID-19 sangat dihargai dan sumbangan ini dapat memastikan kesihatan barisan hadapan terjamin,” katanya.

Beliau menambah, oleh kerana kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai Ogos lepas, sumbangan ini turut dipanjangkan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan membeli pelitup muka pakai buang.

SUMBANGAN UNTUK PELAJAR ORANG ASLI

Sebagai salah satu lagi usaha CSR syarikat, MRCB memilih pelajar Orang Asli daripada 16 buah sekolah di daerah Bentong sebagai kumpulan penerima sumbangan yang pertama bagi membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dan menjamin keselamatan mereka sepanjang sesi persekolahan.

“Masyarakat Orang Asli bukanlah datang daripada keluarga berpendapatan tinggi dan bayangkan sekiranya seorang anak menggunakan satu kotak pelitup muka untuk tempoh seminggu di sekolah, jika ada empat orang anak, perlu beli empat kotak,” kata ujarnya.

Dell Akhbar berkata, MRCB cuba menyantuni setiap golongan masyarakat yang mungkin terjejas disebabkan pandemik ini dan tidak mahu ada pelajar yang terdedah kepada COVID-19 hanya kerana tidak mampu memiliki pelitup muka.

Beliau menambah, setiap pelajar dibekalkan dengan lima keping pelitup muka jenis fabrik dan 120 penapis dalaman yang mampu bertahan selama enam bulan.

“Jadi, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pelitup muka yang dibekalkan mencukupi untuk tempoh yang lama, lebih mesra alam kerana boleh dibasuh dan dipakai semula dan mempunyai kualiti yang sama dengan pelitup muka tiga lapis,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada masa yang sama, MRCB turut menyokong usaha kerajaan dalam membantu mencegah penularan COVID-19 di sekolah yang boleh mengakibatkan jangkitan lebih luas dalam kalangan komuniti.

“Jika terdapat wabak ini dalam kawasan sekolah, impaknya lebih besar kerana ia boleh merebak dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat yang akhirnya akan mengakibatkan sekolah ditutup serta pembelajaran kanak-kanak ini terjejas, jadi kita mahu elak perkara itu daripada berlaku, “ katanya.

JAKOA SAMBUT BAIK INISIATIF

Sumbangan pelitup muka turut diberikan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM13, 775.

Pegawai JAKOA Bentong, Zali A/L Rami berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif MRCB berikutan terdapat masyarakat Orang Asli yang terjejas sewaktu PKP lalu.

“Ibu bapa mungkin terpaksa berbelanja sehingga ratusan Ringgit sebulan bagi membeli pelitup muka untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah dan diharapkan dengan sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Muhammad Rahimi Abdul Manaf berkata, hanya segelintir ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah namun pihaknya sentiasa memaklumkan kepada penjaga mengenai llangkah pencegahan yang diambil.

“Pihak sekolah mengedarkan surat makluman kepada semua penjaga bagi menjamin prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi sepanjang sesi persekolahan,” katanya.

Sekolah tersebut yang mempunyai 100 peratus pelajar Orang Asli turut menerima sumbangan tambahan wang tunai RM1500 dan 100 kilogram sabun cecair tangan berserta empat stand sabun cecair.

Dell Akhbar berkata, MRCB turut berhasrat untuk terus menyumbang kepada badan yang mempunyai ramai petugas barisan hadapan serta rumah kebajikan dan pusat tahfiz.

“Diharapkan dengan usaha kecil ini, MRCB dapat memainkan peranan dalam mendukung usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

Pakai pelitup muka dengan betul – Dr Noor Hisham

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker