Kelompok air ‘Meadows’ ditarik daripada pasaran Singapura tidak dijual di Malaysia

07/12/2020 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Semakan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kelompok pengeluaran (batch) air minuman berbungkus berjenama Meadows keluaran Malaysia yang ditarik daripada pasaran Singapura, mendapati ia tidak dipasarkan di negara ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata pihaknya bagaimanapun sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai penarikan berkenaan.



“KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk tersebut yang dilaporkan di laman sesawang SFA pada 3 Dis. Laporan itu menyatakan SFA telah mengarahkan produk tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

“Produk yang terlibat berisipadu 1.5L dengan tarikh luput 9 Nov 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bakteria Pseudomonas aeruginosa ialah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah. Bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

“Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat,” katanya.



Mohd Salim berkata kilang yang menghasilkan produk berkenaan mempunyai Pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) dan Lesen Air Minuman Berbungkus daripada KKM.

Menegaskan produk air minuman berbungkus untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983, Mohd Salim berkata Seksyen 13 akta itu menetapkan pihak yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan terkandung di dalamnya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga emas menghitung hari untuk bertemu semula suami di Johor



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button