Transit Malaysia cadang APAD wujud standard laluan bas


Gambar: FB – Rapid KL

07/12/2020 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Transit Malaysia menggesa Kementerian Pengangkutan untuk mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuat standard nasional mengenai bila dan bagaimana satu laluan bas akan diwujudkan atau dihentikan.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataan juga menggesa Kementerian Kewangan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan satu model baharu untuk pengangkutan awam yang meletakkan standard dan kualiti perkhidmatan melebihi aspek pemotongan kos.



“Pengguna pengangkutan awam berhak mendapat (perkhidmatan) lebih baik. Kita tidak boleh menambah baik pengangkutan awam tanpa meningkatkan dasar dan tadbir urus; sekiranya model struktur dan kewangan mementingkan pemotongan kos berbanding kualiti perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Transit Malaysia menyeru Rapid KL untuk membatalkan penamatan beberapa laluan bas sehingga standard ini dibuat. Keputusan Rapid KL mengurangkan laluan berdasarkan keputusan kewangan oleh syarikat induk Prasarana dan didorong oleh Kementerian Kewangan.

“Mana-mana laluan bas perlu dinilai dengan teliti dan menyeluruh serta pendapat awam harus diambil kira sebelum membuat perubahan drastik seperti penamatan laluan bas. Kami mahu standard dan model baharu ini dibawa ke pengetahuan umum untuk rundingan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai contoh, Transit Malaysia memberitahu 754 antara Shah Alam dan Puncak Perdana adalah satu-satunya laluan bas untuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana dan sekiranya tiada lagi perkhidmatan bas di situ, bagaimana pelajar ingin berulang-alik ke kampus melainkan terpaksa menaiki perkhidmatan e-panggilan yang tambangnya jauh lebih mahal daripada bas.



Menurutnya, penyelesaian untuk masalah ini ialah menguraikan laluan bertindih dan bukannya menghentikan keseluruhan laluan bas.

Kerajaan Wujud Pusat Kuarantin Transit Pendatang Tanpa Izin Di Sabah – Ismail Sabri



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button