Parlimen: KPKT sasar semua hutang projek PR1MA yang dibatalkan dibayar pada 2023 – Zuraida

Hebahkan !!!

07/12/2020 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan semua hutang projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dibatalkan dapat diselesaikan pada 2023.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata daripada 32 projek yang dibatalkan, 17 projek telah diberikan pampasan berjumlah RM172 juta meliputi prapembangunan, kos kerja, faedah atas kelewatan dan sebagainya.

“(Projek-projek) yang lain masih dalam perundingan. Kita berjaya menurunkan dalam 30 peratus daripada jumlah tuntutan. Untuk yang lain-lain, kita tidak minta lagi peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menguruskan hutang dan pembiayaan seterusnya.

“Kita akan menggunakan productive land (tanah produktif) untuk membuat rumah-rumah baharu dan bekerjasama dengan Jabatan Perumahan Nasional, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan sebagainya untuk cross business model (model perniagaan pelbagai)bagi memaksimumkan apa yang kita ada to cut losses and bring back the money (mengurangkan kerugian dan membawa keuntungan),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) yang ingin tahu peruntukan yang telah dibelanjakan bagi projek PR1MA yang dibatalkan untuk menyelesaikan segala bebanan hutang serta tanggungjawab kepada pemaju dan pembeli sehingga kini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata sebanyak 94 projek yang telah ditandatangani antara PR1MA dan pihak kontraktor pada 2013 hingga 2018 diteliti dan diperhalusi semula dengan kelulusan Anggota Perbadanan PR1MA.

“PR1MA telah melaksanakan Pelan Rasionalisasi Projek PR1MA iaitu sebarang projek dengan peratus kemajuan pelaksanaan projek 15 peratus dan ke bawah hendaklah ditangguhkan dan perlu dikaji semula.

“Hasil pelaksanaan pelan itu, sehingga November 2020 Anggota Perbadanan PR1MA melalui Mesyuarat Anggota Perbadanan PR1MA memutuskan untuk meneruskan 62 projek serta telah dan akan membatalkan 32 projek,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Chow yang ingin tahu pendekatan kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada semua negeri adalah mencukupi, Zuraida berkata dalam tempoh dua tahun sejak 2018, hampir 200,000 rumah telah dan sedang dibina melalui pelaksanaan RMM oleh tiga agensi penyedia perumahan yang melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mulai Julai 2018 hingga 30 Jun 2020, sebanyak 546,755 unit rumah mampu milik sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, merangkumi 327,922 unit rumah dalam fasa perancangan, 163,337 unit dalam fasa pembinaan dan 55,496 unit telah disiapkan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: