Peguam peribadi Trump, Rudy Giuliani dijangkiti COVID-19
07/12/2020 11:16 AM
MOSCOW, 7 Dis — Peguam peribadi Presiden Donald Trump, Rudy Giuliani, 76, disahkan dijangkiti COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.
“Rudy Giuliani, setakat ini datuk bandar terhebat dalam sejarah NYC, dan telah gigih berusaha mendedahkan pilihan raya paling banyak rasuah (setakat ini) dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), telah dijangkti virus dari China itu. Semoga cepat sembuh Rudy, kami akan teruskan !!!,” tulis Trump di Twitter pada Ahad.
Bagaimanapun, Giuliani belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Anak lelaki Giuliani, Andrew, pada 20 November lalu mengesahkan dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri sidang media kempen Trump. Menerusi akaun Twitternya Andrew berkata mengalami simptom yang ringan dan sedang menjalani kuarantin.