Saarani akan hadir ke mesyuarat khas MT UMNO malam Isnin


Datuk Saarani Mohamad

07/12/2020 03:56 PM

IPOH, 7 Dis — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad antara yang akan hadir ke mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Beliau mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan baru Perak.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jumaat lepas, pada persidangan DUN Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya dan secara rasminya telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak, semalam.

UMNO merupakan parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak iaitu 25 diikuti, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Semalam, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan melakukan penjajaran politik baharu dengan Pakatan Harapan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional sedia ada tidak dapat dikekalkan.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi Parti Amanah Rakyat (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi turut dilaporkan berkata bahawa gabungan antara UMNO dengan parti mereka, adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Malah, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilapor mengesahkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO negeri itu sebelum ini.

Saarani bagaimanapun enggan mengulas mengenai perjumpaan berkenaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Saarani meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat andaian berikutan pelbagai kenyataan mengenai pembentukan kerajaan negeri yang baharu tanpa bersandarkan keputusan rasmi UMNO.

Beliau berkata hanya pihaknya yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi parti berhubung perkembangan proses pembentukan kerajaan negeri.

“Badan Perhubungan UMNO negeri Perak memandang serius pelbagai spekulasi dan khabar angin berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkan di luar saluran parti berhubung senario politik Perak,” katanya.

Zahid Hamidi hadir mesyuarat khas UMNO Perak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker