Nama calon MB daripada UMNO dipersembah kepada Sultan Perak, dapat sokongan majoriti – Ahmad Zahid

08/12/2020 12:06 PM

IPOH, 8 Dis — Calon Menteri Besar Perak yang baharu daripada Umno bukan sahaja mempunyai sokongan majoriti, malah lebih daripada mencukupi, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata nama calon itu juga telah dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semasa beliau menghadap baginda di Istana Kinta di sini pagi ini.

“Itulah (nama calon) yang kita telah persembahkan dan saya amat yakin ada sokongan majoriti lebih daripada mencukupi.



“Saya telah diperkenankan oleh Sultan Perak untuk menghadap dan persembahkan surat memohon untuk perkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin selama kira-kira setengah jam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 Ahli DUN (ADUN) dan majoriti mudah adalah sebanyak 30.

Hadir sama ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

Ahmad Zahid berkata pengumuman nama calon Menteri Besar akan dibuat menerusi kenyataan oleh pihak Istana.



Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengulangi komitmen supaya persepakatan dan kerjasama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak antara UMNO, Bersatu dan PAS dapat diteruskan.

Selain nama Saarani, turut disebut-sebut ialah Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga ADUN Rungkup.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa sidang DUN sehari sebelumnya.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

KRISIS PERAK – Umno Akan Serah Nama Ke Istana Perak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker