Tidak banyak diperkatakan pemimpin PH semasa keluar dari Istana Kinta


Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming (dua, kanan) bersama Pengerusi Keadilan Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (dua, kiri) dan Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi (tengah) ketika ditemui semasa meninggalkan Istana Kinta Ipoh selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini.

08/12/2020 06:50 PM

IPOH, 8 Dis — Hanya senyuman terukir di wajah ketiga-tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) semasa melangkah keluar dari Istana Kinta di sini hari ini selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, namun tidak banyak yang dinyatakan mereka mengenai perkembangan politik negeri setakat ini.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak – hadir ke istana selepas dipanggil menghadap Sultan Nazin, tengah hari ini.



Ketika ditemui media yang ‘berkampung’ di luar Istana Kinta susulan perkembangan politik terkini di negeri itu, mereka memberitahu kehadiran hari ini adalah untuk memaklumkan pendirian terkini masing-masing berhubung perkembangan itu.

Farhash Wafa berkata mereka tidak dapat memberikan apa-apa komen kerana situasi politik ketika ini boleh berubah, manakala Nga berkata mereka berdoa mengharapkan yang terbaik sahaja.

Ditanya sekiranya PH menghantar nama calon mereka untuk jawatan Menteri Besar, mereka memberitahu, tidak.

Semasa ditanya sekiranya mereka menyokong calon UMNO untuk jawatan itu, soalan itu bagaimanapun dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang jawapan.



Nga dalam satu kenyataan pagi ini berkata DAP memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO di Perak bagi mewujudkan kerajaan pelbagai kaum yang bersih, kukuh dan bersatu padu.

Sementara itu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menyampaikan nama calon UMNO kepada Sultan Nazrin mengulangi kenyataannya kepada media, bahawa kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional yang melibatkan UMNO, Bersatu dan PAS; di Perak akan diteruskan.

Jawatan Menteri Besar Perak kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu Sabtu lepas selepas beliau hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi kepercayaan semasa persidangan pada hari sebelumnya.

Beliau hanya memperoleh 10 undi, manakala 48 tidak memihak kepadanya dan satu berkecuali.



DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Sultan Nazrin titah parti politik cari formula terbaik bentuk kerajaan Perak baharu



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button