Saarani: Bermula sebagai Pendidik, kini Menteri Besar
09/12/2020 11:30 PM
IPOH, 9 Dis — Teka-teki mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar Perak ke-14 setelah jawatan itu kosong sejak Sabtu lalu terjawab hari ini apabila Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan kepada Datuk Saarani Mohamad untuk dilantik ke jawatan itu.
Saarani, 59, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Nazrin pada 11 pagi esok di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak sejak 2018 itu mendapat perkenaan Sultan Nazrin untuk dilantik sebagai menteri besar setelah pada pertimbangan baginda, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN.
Saarani dipilih menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Dis lepas setelah gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ pada Jumaat lalu.
Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong, Saarani memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia .
Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Pengurusan Sumber Manusia) daripada Open University Malaysia (OUM) itu menyertai UMNO pada 1989 dan menjadi ADUN Lenggong dari 1999 hingga 2004.
Atas dedikasi dan komitmen sebagai wakil rakyat, ayah kepada lapan anak itu berjaya menjadikan DUN Kota Tampan sebagai kubu kuat UMNO sejak mula memenanginya pada 2004.
Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Saarani dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, namun ‘status’ itu tidak lama setelah PH tumbang dan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada ADUN UMNO, Bersatu dan PAS mengambil alih pemerintahan.
Saarani juga pernah menjadi menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak dengan memegang beberapa portfolio antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, dan yang terakhir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Pelantikan Saarani mengisi senarai Menteri Besar Perak bersama 11 yang lain iaitu Datuk Seri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957); Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960); Datuk Seri Shaari Shafie (1960-1964) dan Datuk Seri Ahmad Said (1964-1970).
Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974); sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977; Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1983-1999); Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008); Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (2009-2018).
Selepas PRU14 pada 2018, Ahmad Faizal yang merupakan Pengerusi PH Perak dilantik Menteri Besar Perak ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac 2020 susulan penjajaran politik dan kemudian dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak ke-13 dengan memimpin kerajaan PN sebelum meletak jawatan pada 5 Dis lalu.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan UMNO memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
MKT UMNO setuju sebulat suara Saarani calon MB Perak