Iran bersedia AS kembali sertai JCPOA – Zarif
TEHRAN, 10 Dis — Iran bersedia melihat Amerika Syarikat (AS) kembali menyertai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), setelah ia menarik diri pada 2018, kata Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif dalam temu bual dengan Arman Media di YouTube, baru-baru ini.
Hak untuk menyertai perjanjian nuklear atau JCPOA pada 2015 itu akan diperuntukkan kepada AS jika ia jujur mahu melaksanakan komitmen mereka, katanya yang dipetik Agensi Berita IRNA.
Zarif menyifatkan JCPOA sebagai perjanjian rasmi yang dimeterai antara Iran dengan enam kuasa dunia – AS, United Kingdom, Perancis, Rusia, China dan Jerman – yang telah disahkan oleh Resolusi 2231 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut IRNA, Zarif menyatakan ramai pakar percaya JCPOA adalah satu pencapaian luar biasa.
Mengulas mengenai dasar AS di bawah presiden baharu, Zarif berkata anggota pentadbiran Joe Biden tahu apabila mereka kembali ke JCPOA, isu-isu tertentu – termasuk program peluru berpandu Iran – tidak boleh dirundingkan kerana ia telah dibahas.
Iran positif mengenai masa depan, katanya.
Bercakap mengenai Israel, beliau berkata ‘Iran tidak akan mengikraf Israel secara rasmi; namun, jika Palestin memutuskan untuk memeterai perjanjian dengan Israel, Iran tiada masalah’.
“Penyelesaian demokratik adalah satu-satunya jalan keluar untuk Palestin,” katanya.