Pakistan gagalkan cubaan serangan pengganas, lima ditahan
11/12/2020 01:00 AM
ISLAMABAD, 10 Dis — Jabatan Anti Pengganas (CTD) Pakistan menggagalkan cubaan serangan besar-besaran di Punjab, timur negara itu dan menahan lima pengganas, menurut laporan pada Khamis.
CTD berkata serbuan dilakukan di tempat persembunyian pengganas setelah polis mendapat maklumat mengenai kehadiran mereka di pinggir bandar Lahore.
“Lima anggota Tehrik-e-Taliban Pakistan yang diharamkan, ditangkap dalam operasi itu,” lapor Agensi Berita Xinhua memetik pegawai CTD sebagai berkata, militan itu merancang menyerang bangunan kerajaan dan beberapa tempat penting lain di Lahore.
Menurut laporan itu, ketika serbuan, polis turut merampas bahan letupan, senjata dan bom tangan.
CTD menyatakan, sebuah agensi perisikan asing memberi bantuan kewangan kepada kumpulan itu dan mereka sudah pun beberapa kali mengadakan pertemuan.
Militan terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut.