Hakim lawat 2 banglo di Country Heights

Kajang: Hakim dan semua pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat dua unit banglo di Country Heights di sini, hari ini yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan bakal bersara dan pelajar tahfiz.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi kejadian pada 10.40 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang dikawal rapi.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dan barisan peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.



Sebaik tiba di unit kediaman itu, Sequerah meninjau satu daripada dua unit banglo di Lot 403, 2A, Lorong Bayu Nyaman, Country Height yang diubah suai menjadi Yayasan Al-Falah dan dijadikan sebagai pusat pengajian Islam bagi orang ramai di kawasan itu.

Pasukan mahkamah, pendakwaan dan pembelaan menghabiskan kira-kira 25 minit untuk melihat keseluruhan banglo, yang menempatkan kira-kira empat bilik dan satu ruang pengajian orang ramai.

Ketika lawatan diadakan, satu sesi kuliah Dhuha sedang sedang dijalankan, bagaimanapun pengajian itu tetap diteruskan walaupun dengan kehadiran orang ramai termasuk petugas media.

Selesai melihat Yayasan Al-Falah, pihak mahkamah kemudiannya berjalan kira-kira 100 meter untuk melihat dan meninjau sebuah lagi unit banglo yang dijadikan Madrasah Tahfiz Al-Falah.



Madrasah itu menempatkan ruang pengajian dan asrama bagi lebih 60 pelajar tahfiz lelaki serta beberapa tenaga pengajar luar.

Mereka kemudiannya menghabiskan kira-kira 20 minit untuk melihat keseluruhan unit banglo, di mana ketika itu terdapat pelajar tahfiz yang sedang melakukan hafazan.

Lawatan kemudian berakhir pada 11.24 pagi dan semua pihak dimaklumkan bahawa perbicaraan kes itu akan bersambung Jumaat ini.

Pada 6 Julai lalu, Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.



Ia selepas Hisyam Teh menjemput mahkamah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button