BRI beri nafas baharu ekonomi dunia
15/12/2020 03:35 PM
BEIJING, 15 Dis — Sinergi yang dibentuk dalam membangunkan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menjadi pendorong kuat dan memberi nafas baharu kepada ekonomi dunia.
Beberapa pakar dan tokoh sependapat bahawa BRI mampu memberi dimensi baharu dalam globalisasi ekonomi.
Berkongsi pandangan menerusi pautan video pada simposium antarabangsa berkaitan BRI pada Isnin, mereka senada bahawa BRI menjadi penyangga kukuh ke arah membina komuniti berkongsi nasib.
Simposium itu disertai lebih 30 pegawai kanan, bekas pegawai dari China dan luar negeri serta sarjana dari kumpulan pemikir aktif.
Antara idea dan pandangan yang dilontarkan berkisar topik paradigma pembangunan terkini China dengan peluang baharu kolaborasi global bersifat saling untung, dan sinergi membangunkan BRI secara berkualiti di samping usaha membina ekonomi dunia terbuka.
Mereka turut sependapat bahawa semangat multilateralisme serta nilai saksama dan adil harus dijunjung.
BRI dilaksanakan secara hijau, bersih, sihat dan inovatif, sehingga menggerakkan ekonomi dunia dan tadbir urus global menuju ke arah lebih munasabah dan situasi sama menang.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ong Tee Keat menyifatkan pola pertumbuhan baharu ekonomi China yang berteraskan dwikitaran sebagai persediaan untuk meningkatkan daya saing antarabangsa dan menyelaraskan keseimbangan ekonomi domestik dan luar negeri.
Ujar beliau, hala tuju baharu BRI dilakar apabila China dan ASEAN melipatgandakan usaha untuk membangunkan hab maklumat, mewujudkan kesalinghubungan digital dan membina “jalan sutera digital”.