Undi Elektoral sahkan kemenangan Biden

15/12/2020 12:23 PM

WASHINGTON, 15 Dis — Delegasi pengundi elektoral mula mengundi pada Isnin untuk menentukan presiden baharu Amerika Syarikat (AS) berasaskan pilihan raya 2020, bagi memuktamadkan kemenangan pemimpin Demokrat, Joe Biden untuk kerusi Rumah Putih, lapor Agensi Berita Xinhua.

Bekas Naib Presiden itu, sudah pun menerima lebih 270 undi elektoral yang diperlukan untuk menjaminnya ke Rumah Putih dan California yang memiliki 55 perwakilan, menjadi negeri paling banyak menyumbang kepada kemenangan Biden pada petang Isnin.



Tiada sebarang kejutan atau perwakilan yang berpaling tadah bagi undian elektoral Pennsylvania, Michigan, Wisconsin, Georgia dan Arizona, kawasan yang menyaksikan saingan sengit daripada penyandang jawatan, Presiden Donald Trump.

Biden dijangka berucap pada malam ini, untuk meraikan kemenangannya.

“Sekarang masanya untuk membuka lembaran baharu. Untuk bersatu dan memulihkan,” kata Biden, berdasarkan petikan draf ucapan yang akan dikeluarkan oleh pasukan peralihannya.

“Saya akan tetap bekerja keras untuk mereka yang tidak memilih saya, begitu juga kepada mereka yang menyokong saya,” kata Biden yang sekali lagi berikrar akan menjadi “presiden untuk semua rakyat Amerika”.



Selepas proses elektoral di negeri-negeri dijalankan selaras dengan keputusan pilihan raya November lalu, ia akan disahkan dan rekod itu dihantar ke Kongres, Arkib Negara dan mahkamah.

Kongres akan mengesahkan keputusan undian elektoral itu pada 6 Januari sebagai langkah seterusnya dalam proses peralihan presiden.

Meskipun Undi Elektoral dibuat pada Isnin, Trump dan sekutunya menyatakan mereka akan meneruskan usaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya, dengan alasan, 20 Januari iaitu tarikh pelantikan presiden baharu, adalah sekadar tarikh yang ditetapkan perlembagaan.

Di Michigan, ibu negeri itu ditutup ketika undian berlangsung kerana ancaman keganasan dan tunjuk perasaan.



Banyak petisyen pilihan raya oleh Trump dan sekutunya bagi mencabar keputusan pilihan raya, ditolak oleh mahkamah peringkat negeri dan persekutuan sejak pilihan raya berakhir November lalu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button