Biden dijangka pilih Pete Buttigieg sebagai Setiausaha Pengangkutan
16/12/2020 12:39 PM
WASHINGTON, 16 Dis — Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijangka mencalonkan Pete Buttigieg, bekas gabenor South Bend, Indiana dan calon presiden Demokrat 2020, untuk berkhidmat sebagai setiausaha pengangkutannya.
Buttigieg akan menjadi Setiausaha Kabinet LGBTQ (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pertama dalam sejarah AS sekiranya pencalonannya diluluskan Senat, lapor Agensi Berita Xinhua memetik laporan media AS pada Selasa.
Setiausaha pengangkutan dijangka memainkan peranan utama dalam usaha Biden untuk mendapatkan pakej infrastruktur secara bipartisan, kata laporan CNN memetik sumber.
Sebahagian besar platform kempen pilihan raya Buttigieg tertumpu pada rancangannya untuk memperbaiki infrastruktur AS, khususnya akses internet.
Selepas menamatkan kempen pencalonannya, Buttigieg menyatakan sokongan kepada Biden dan menghabiskan banyak masa membantu mengumpul dana dan mengendalikan program untuk bekas naib presiden itu.
Sebelum mencalonkan diri bertanding merebut jawatan presiden, Buttigieg pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar South Bend sejak 2012.