Peminjam jadi pekerja ah long

Alor Setar: Terdesak membayar hutang pinjaman kepada ‘ah long siber’, dua lelaki sanggup bekerja sebagai ahli sindiket itu untuk melakukan tugas menampal notis ugutan, membaling cat dan merantai pagar rumah peminjam lain bagi mendapat wang.

Mereka dibayar upah mengikut pakej ditentukan, iaitu RM350 untuk membaling cat, RM150 bagi merantai pagar, manakala RM50 untuk menampal notis ugutan.

Bagaimanapun, perbuatan dua lelaki yang juga sahabat sekampung itu mengundang padah apabila mereka ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Ahad lalu.



Mereka ditahan di Taman Seri Tandop, Batu 3, Tandop, dan dipercayai sedang mencari rumah peminjam untuk menampal poster ugutan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi Op Vulture itu dibantu pasukan risikan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Beliau berkata, operasi jam 3.30 petang hingga 6.30 petang itu berjaya mengesan kereta dinaiki dua lelaki berkenaan.

“Polis berjaya menahan mereka yang berusia 38 dan 41 tahun itu, malah hasil siasatan mendapati, mereka disyaki terbabit dengan kegiatan ‘ah long siber’.



“Kita turut merampas dua telefon bimbit, Perodua Axia, empat sampul surat coklat, surat bertulis kata-kata amaran dengan pen merah, motosikal Honda Vario, cat merah, pita pelekat, cat sembur merah, pakaian serta kasut dan barangan lain untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, malam tadi.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

Beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading