BW Rhine: Singapura kecam semua serangan ke atas kapal komersial
16/12/2020 05:28 PM
SINGAPURA, 16 Dis — Singapura mengecam semua bentuk serangan ke atas kapal komersial, yang mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan dagangan dan navigasi maritim antarabangsa, kata Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) republik itu.
MFA dalam satu kenyataan di sini berkata, susulan insiden yang melibatkan kapal tangki minyak komersial berdaftar di Singapura, BW RHINE, yang berlabuh di Pelabuhan Jeddah, dilaporkan mengalami kerosakan pada awal pagi 14 Disember.
“Menurut jurucakap rasmi Kementerian Tenaga Arab Saudi, kapal itu diserang menggunakan bot yang sarat dengan bom,” kata kementerian itu.
“Ini mengakibatkan kebakaran dan kerosakan kecil namun semua 22 anak kapal selamat dan tiada warga Singapura di dalamnya,” katanya.
MFA menyatakan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura sedang menyiasat kejadian itu dengan pihak berkuasa Arab Saudi yang berkaitan.