Lari dari hospital selepas buat pembedahan plastik

Oleh – Syeikh Baran


Lari dari hospital selepas buat pembedahan plastik
SEORANG pesakit wanita melarikan diri dari sebuah hospital di Istanbul baru-baru ini. – Shutterstock

Seorang pesakit wanita cuba melarikan diri, beberapa jam selepas menjalani pembedahan plastik di sebuah hospital di Istanbul, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Dalam kejadian pada minggu lalu, pesakit warga asing itu bertindak demikian sebagai usaha untuk mengelak daripada melunaskan bayaran kos pembedahan wajahnya.



Satu rakaman video pendek menunjukkan wanita yang masih memakai pakaian hospital dan berselipar putih itu bertengkar dengan doktor serta jururawat setelah mereka cuba menghalangnya keluar dari hospital tersebut.

Wajah wanita itu kelihatan bengkak dan hampir dipenuhi dengan pembalut.

Saluran televisyen NTV melaporkan, wanita yang identiti dan kewarganegaraannya tidak didedahkan itu pergi ke Turkiye untuk menjalani pembedahan plastik di wajahnya.

Selepas menjalani prosedur kosmetik, pesakit tersebut didakwa cuba menyelinap keluar tetapi kakitangan hospital menyedari tindakan itu dan berjaya menghalangnya.



Pertengkaran berlaku sehingga beberapa anggota keselamatan tiba. Pesakit berkenaan kemudian melemparkan kata-kata kesat kepada jururawat dan doktor dalam bahasa asing.

Dia akhirnya dibawa ke katilnya di hospital itu, namun tidak dijelaskan bagaimana masalah tersebut telah diselesaikan. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button