‘Jangan biar perintah nafkah mahkamah syariah tinggal atas kertas saja’

Oleh – Syeikh Baran


'Jangan biar perintah nafkah mahkamah syariah tinggal atas kertas saja'
Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tengah) ditemui media selepas program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Sumbangan Ambulans kepada Bulan Sabit Merah Kuala Lumpur di Perumahan Awam Sri Selangor semalam. – foto BERNAMA

abatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diarah supaya mencari jalan terbaik bagi memastikan perintah nafkah di Mahkamah Syariah dapat dikuatkuasakan secara berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tuntutan nafkah antara isu penting yang perlu diberi perhatian terutama bagi memberikan keadilan kepada isteri dan anak-anak.



“Baru-baru ini saya adakan perbincangan bersama Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain untuk membincangkan perkara berkaitan institusi kehakiman dan perundangan syariah.

“Kita melihat kepada bagaimana penambahbaikan dapat dilakukan berkaitan dengan penguatkuasaan perintah.

“Ini di bawah peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM. Jadi dalam perbincangan itu, arahan saya kepada JKSM untuk membuat semakan semula melalui BSK dan lihat apa lagi program yang boleh ditambah baik bagi memastikan perintah nafkah di mahkamah syariah ini dapat dikuatkuasakan secara berkesan,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau ditemui selepas menjayakan Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Sumbangan Ambulans Kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur, di Perumahan Awam Seri Selangor, semalam.



Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, untuk itu, JKSM perlu meneliti langkah atau rangka tindakan yang perlu diambil bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah syariah tidak kekal di atas kertas sahaja.
 

“JKSM perlu cari jalan, buat program dengan mahkamah syariah untuk pastikan perintah nafkah itu boleh diterjemah kepada nilai wang sebenar untuk isteri dan anak-anak.

“Perkara ini di bawah BSK dan ia sebenarnya sedang berjalan, cuma saya minta JKSM untuk melakukan penambahbaikan,” katanya.

Mohd Na’im sebelum ini memaklumkan, golongan isteri dan anak-anak boleh mendapatkan khidmat tuntutan nafkah secara percuma melalui BSK, JKSM.

Katanya, BSK yang diwujudkan pada 2008 bertujuan memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dipatuhi dan dilaksanakan oleh bekas suami atau bapa kepada bekas isteri dan anak-anak.



Melalui BSK, individu boleh memohon perintah tuntutan nafkah melalui pelbagai kaedah, misalnya tahanan pendapatan, merangkumi suami yang bekerja dengan kerajaan atau swasta.

Selain itu, perintah nafkah juga boleh dibuat dalam situasi suami berhutang dengan pihak ketiga. Ia boleh dilakukan dengan cara memohon supaya hutang itu dibayar terus kepada isteri.

Dalam situasi suami terbabit memiliki harta, isteri boleh memohon kepada mahkamah misalnya mengeluarkan perintah bagi melelong kediaman bagi melunaskan pembayaran.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button