40 penduduk terjejas banjir di Hulu Bernam


Gambar fail

03/01/2021 10:41 PM

SHAH ALAM, 3 Jan — Seramai 40 penduduk di dua kampung di Hulu Bernam terjejas akibat banjir manakala dua pusat penempatan sementara dibuka selepas hujan melanda Selangor sejak malam semalam.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata setakat 6 petang tadi, dua rumah di Kampung Baru A dan 15 di Kampung Selisik Hulu Bernam dinaiki air susulan hujan lebat sejak 11 malam semalam.



“Ketinggian paras air di kedua-dua kampung adalah antara satu meter hingga 1.2 meter dan tujuh mangsa daripada sebuah keluarga dari Kampung Baru A kini ditempatkan di Balai Raya kampung itu manakala empat mangsa daripada sebuah keluarga lagi memilih untuk menumpang di rumah saudara mereka.

“Seramai 29 mangsa lagi daripada 15 keluarga dari Kampung Selisik pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Selisik di Hulu Bernam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah mangsa dijangka bertambah sekitar malam ini kerana hujan masih berterusan dan paras air banjir yang semakin meningkat di Kampung Selisik.

Pihaknya juga akan terus memantau dan mengambil tindakan kejadian banjir yang berlaku dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button