Mayat lelaki ditemukan di dalam but kereta
07/01/2021 01:54 AM
KUALA LUMPUR, 6 Jan — Seorang lelaki warga emas dipercayai mati dibunuh telah ditemukan di dalam but sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong di sini malam ini.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.
Bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat digunakan untuk mengumpil but kereta tempat mayat dijumpai.
Mangsa berusia 70 tahun itu dilapor hilang sejak 31 Dis lepas dan susulan laporan kehilangan warga emas itu, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.
Katanya, keluarga mangsa membuat dua laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu pada Jumaat dan Sabtu di Balai Polis Ara Damansara.
“Keluarganya memaklumkan kepada polis bahawa kad kredit milik mangsa telah digunakan suspek dan berlaku transaksi kad kredit di sebuah pasar raya di Kuala Klawang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Nik Ezanee, lelaki yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan dan pemilik sebuah bengkel kereta.
“Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo berwarna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek,” katanya.
Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.