Remaja maut kemalangan dengan trak tentera
07/01/2021 09:03 AM
KUANTAN, 7 Jan — Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi terlibat kemalangan dengan trak tentera di kilometer 136, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di Temerloh kira-kira 140 kilometer dari sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian pada 9.30 malam itu menyebabkan Nazrul Amanna Shafrie Abdullah, 17, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Sementara Muhammad Nazrul Haiqal Abdullah, 17, yang membonceng motosikal Demak Evo Z parah di kepala dan dikejarkan ke zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa melanggar bahagian sisi trak tentera yang difahamkan keluar dari simpang untuk ke Kuala lumpur, walaupun simpang itu hanya membenarkan kenderaan belok ke arah Kuantan,” katanya.
Kamarulzaman berkata semasa kejadian, trak itu dipandu anggota tentera berusia 41 tahun dari Kem Batu 10, Kuantan dan tidak membawa muatan.
Mayat mangsa dibawa ke HOSHAS dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.