“YA, SAYA AMBIL MUDAH…” – NATASHA AKUI KESILAPAN, SIFATKAN RIZMAN RUZAINI BERAT SEBELAH
Sebelum ini hangat diperkatakan mengenai pelakon Natasha Hudson apabila dia dikecam teruk berikutan pakaiannya yang dikatakan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung dimana ia mendedahkan bahagian bahu serta betis meskipun berlapik dengan kain berwarna kulit.
Enggan isu tersebut terus diperkatakan, Natasha tampil mengakui kesilapannya. Natasha berkata, dia ambil mudah melalui cara pemakaiannya selain menafikan itu adalah kontroversi yang sengaja dibuat-buat.
“Ikutkan busana yang saya sarung itu boleh saja digayakan sesiapa pun mengikut cita rasa dan olahan gaya masing masing. Ya, saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya.
“Jujur saya tak sangka ia akan mencetuskan kontroversi. Malah harus saya tegaskan ia juga bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk Crystal C White,” katanya.
Klik untuk gambar besar
Dalam masa sama, Natasha yang juga wajah produk Crystal C White menyifatkan kenyataan pereka fesyen, Rizman Ruzaini adalah berbaur peribadi dan berat sebelah.
Ia susulan kenyataan pereka terkenal itu meluahkan rasa kecewa apabila busana putih yang seakan mendedahkan bahu dipakai oleh selebriti bertudung sedangkan rekaan itu untuk wanita tidak bertudung. Natasha berkata, Rizman tidak wajar mengeluarkan kenyataan sebegitu sebaliknya perlu menjaga hati pelanggan.
“Selepas diamati kenyataan pereka fesyen itu saya lihat ia berbaur peribadi dan berat sebelah. Mungkin kenyataan itu dibuat kerana tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.
“Mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tapi dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati mereka. Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.
“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” ujarnya.
Tambah Natasha yang juga pelakon filem ‘Chermin’, dia agak terkejut dengan reaksi pereka itu: “Saya bukan tidak mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu.
“Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik kepada saya sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang disifatkan seperti menghentam. Saya berasakan komen mereka yang busana itu tidak sesuai untuk orang berhijab tak tepat.
“Sedangkan kalau kita buat carian di Internet busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan. Apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” tuturnya.
TERKEJUT, KECEWA ISU NATASHA HUDSON – RIZMAN RUZAINI KATA BAJU ITU DIREKA UNTUK FREE HAIR