Rina Harun positif COVID-19, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh
11/01/2021 12:13 PM
KUALA LUMPUR, 11 Jan — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun disahkan positif COVID-19.
Menurut kenyataan pejabat beliau hari ini, Rina memperoleh keputusan ujian saringannya malam tadi selepas menjalani ujian tersebut di Klinik Kesihatan Putrajaya pada pagi semalam.
Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada 11 pagi ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut.
“Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat.
“Beliau juga akan pastikan semasa ketiadaannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian kementerian akan tetap berjalan seperti biasa,” demikian menurut kenyataan itu.
Srikandi hantar 10 nama wanita calon PRN Sabah