UMNO tidak gila mahu PRU semasa musim Covid-19 – Nazri

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui beliau lebih rela tidak berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan prinsip dan suaranya tidak tersekat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengesahkan pernah ditawarkan jawatan namun terpaksa menolaknya kerana tidak sanggup terpengaruh dengan kerajaan atau parti tertentu untuk kekal berkuasa.

“Saya memang pernah ditawarkan jawatan tetapi saya menolak.

“Kalau saya terima saya bimbang akan jadi seperti ‘kawan-kawan’ yang berjawatan. Saya bimbang tidak dapat bercakap seperti hari ini.

“Hari ini saya bebas bercakap apa sahaja, kepentingan parti serta pandangan akar umbi itu yang perlu kita fokuskan.

“Ada yang berjawatan Menteri tetapi cakapnya juga lebih terpengaruh kepada kerajaan atau parti yang ada kini. Ada ahli-ahli berjawatan ini terpengaruh kerana jawatan dipegang itu,” katanya ketika sesi sembang santai hari ini.

Dalam pada itu, Nazri menambah, adalah tidak benar untuk menuduh UMNO kemaruk kuasa sehingga hendak mengadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

”Kita minta PRU kalau boleh diadakan pada suku pertama, itu pun kita ambil kira berlapik… sekiranya Covid-19 sudah ditangani.

”Orang yang tidak suka UMNO kata UMNO kemaruk. Tidak ada orang dalam UMNO gila, musim Covid-19 pun nak buat (PRU), itu tidak betul. Kita cakap suku pertama tapi perlu menangani COVID-19

“Malah ada tuduh pemimpin UMNO sebagai gila kuasa dan dakwaan lain juga tidak benar. Kita ambil kira pandangan dari akar umbi. Janganlah kerana segelintir ahli UMNO keluarkan kenyataan kita menghina pandangan akar umbi UMNO.

“Peliknya yang bantai UMNO adalah dalam kalangan pemimpin UMNO juga, macam ikan piranha.

“Orang setia kepada parti seperti Datuk Lokman Adam ini kena buang pula, apapun kita tidak akan sesekali berkompromi dengan cakap-cakap jemaah Menteri Kabinet ini.

“Saya ulang, UMNO tidak kemaruk kuasa, itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen atau sebaliknya. Lagipun kerajaan ini bukan stabil,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Leave a Reply