Amirizdwan Taj pilih bidang kejurulatihan selepas 16 tahun bergelar pemain

11/01/2021 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Setelah 16 tahun menjadi pemain bola sepak, bekas pertahanan kebangsaan Amirizdwan Taj Tajuddin kini mahu beralih kepada dunia kejurulatihan pada usia 34 tahun.

Pemain tinggi lampai yang mesra dengan panggilan ‘Panjang’ itu membuat keputusan bersara didorong oleh tawaran sebagai penolong jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dengan kontrak satu tambah satu (satu tahun dengan pilihan tambahan setahun lagi).



“Sebenarnya kalau ikut perancangan asal, saya hendak beraksi setahun lagi tapi disebabkan saya lihat trend (pasukan tempatan) setiap tahun terhadap pemain senior sudah berkurangan, dan (sebaliknya) lebih mengutamakan pemain-pemain muda.

“Saya memang menyimpan hasrat menjadi jurulatih bola sepak sekiranya tidak lagi menjadi pemain dan kebetulan AMD membuka jawatan pada hujung tahun lepas. Alhamdulillah, beberapa hari lepas saya mendapat sepucuk surat memaklumkan saya ditawarkan sebagai penolong jurulatih,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Amirizdwan yang mempunyai lesen kejurulatihan B Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), bertekad mendalami lebih banyak ilmu dengan beberapa jurulatih profesional yang berada di AMD.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akan melapor diri pada 15 Jan ini.



Amirizdwan mula bergiat aktif dalam bola sepak sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2004 sebelum mewakili pasukan UiTM FC dalam saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (Piala FAM) selama empat musim bermula 2008.

Pada 2012, beliau menyarung jersi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Premier pada tahun sama, selain Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2013.

Amirizdwan kembali ke Kelantan dan membantu skuad itu muncul naib juara Piala FA pada 2015 sebelum membawa pasukan Kelantan United muncul juara Liga M3 edisi 2019.

Di peringkat antarabangsa, Amirizdwan membuat 17 penampilan bersama skuad Harimau Malaya dari 2011 hingga 2015 dan menjaringkan dua gol.



2020 masa ‘rehat’ bola sepak, jana semangat musim depan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button