Dicekup seleweng 430,000 liter diesel

Oleh – Syeikh Baran


Dicekup seleweng 430,000 liter diesel
Pegawai KPDN Sarawak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal yang disyaki menyeleweng diesel selepas menerima serahan tangkapan yang dibuat oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Kuching, hari ini.

Kegiatan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar menyeleweng 430,000 liter diesel melalui laut terbongkar apabila ditahan pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata penahanan suspek dibuat oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Kuching semalam, yang membawa kepada rampasan kesemua diesel itu yang dianggarkan bernilai RM924,500.



Beliau menambah, turut dirampas sebuah kapal yang digunakan suspek untuk membawa diesel berkenaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5 juta.

Susulan itu, katanya kes diserahkan kepada KPDN Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran diesel itu termasuklah sumber diesel diperolehi dan edaran kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Matthew menambah, kes turut disiasat di bawah Seksyen 21, AKB 1961 kerana memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.



Sementara, Matthew berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan seluruh Sarawak di bawah Ops Tiris dalam tempoh 1 Mac sehingga 31 Disember 2023, KPDN Sarawak telah menghasilkan sebanyak 121 kes melibatkan kuantiti rampasan sebanyak 6,554,327 liter diesel dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM6,960,477.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button