Pegawai kanan tentera didakwa terlibat pengubahan wang haram
IPOH, 12 Jan — Seorang pegawai tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram sebanyak RM114,000 di daerah Batang Padang dekat sini pada tahun 2016.
Leftenan Kolonel Azman Mohamed Yasin, 58, yang ketika kejadian merupakan Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa telah menerima cek berjumlah RM114,000 di bank CIMB cawangan Bidor di Bidor Centre Point, Jalan Dewan Orang Ramai, Bidor daripada Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 25 Okt 2016.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin memohon mahkamah supaya mengguna pakai jaminan bagi kes pecah amanah yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, iaitu sebanyak RM80,000, pada 23 Nov lalu.
Nurul Wahida turut memohon agar kes hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersekali dengan kes pecah amanah, dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam bela tertuduh, Mohd Amir Aizat Abdul Rani.
Mahkamah kemudian bersetuju dengan kedua-dua permohanan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya.