Khairul Izuan sasar kembali temui sentuhan bersama UiTM FC
13/01/2021 03:36 AM
KUALA LUMPUR, 12 Jan — Penyerang baharu UiTM FC Khairul Izuan Rosli bertekad membantu pasukan baharunya mencipta kejayaan dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang bakal bermula 26 Feb ini.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata tawaran menyertai pasukan universiti berkenaan menjadi medan terbaik untuk mengembalikan prestasi dirinya setelah gagal menyinar bersama beberapa pasukan lain sebelum ini.
Khairul Izuan pernah membantu negeri kelahirannya Kelantan meraih kejuaraan ‘treble’ iaitu juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012, namun bergelut untuk memberikan impak sewaktu beraksi dengan beberapa pasukan lain termasuk Negeri Sembilan (2017-2018), Terengganu FC (2019) dan Kelantan United pada musim lepas.
“Saya bersyukur apabila musim ini dapat beraksi untuk UiTM FC dan saya boleh katakan pasukan ini antara yang cemerlang juga untuk 2020. Semestinya ia akan menjadi musim yang mencabar untuk saya, apatah lagi bersaing dalam Liga Super,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.
“Sebenarnya selepas keluar dari pasukan Kelantan, saya mengaku agak susah hendak mencari rentak permainan tetapi Alhamdulillah, masih lagi ada pasukan yang inginkan khidmat saya dan saya akan berusaha lebih keras untuk kembali mencipta nama,” jelas beliau.
Selain Khairul Izuan, pasukan UiTM FC turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain tempatan lain termasuk Khairul Asyraf Sahizah dan Mohd Alif Najmi dari Perak II, Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi dan Muhammad Farid Nezal (PDRM FC), Muhammad Hardee Shamsuri (Pahang) dan Mohd Fauzi Latiff (Negeri Sembilan).
UiTM FC menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan pada penampilan sulung dalam Liga Super pada musim lepas dengan mengutip 17 mata daripada lima kemenangan, dua seri dan empat kekalahan.