KES ROTAN ANAK – BEKAS SUAMI ZIANA ZAIN KEMUKA RAYUAN
“Pihak kami memfailkan petisyen rayuan bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September tahun lalu,” kata peguam Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 56, mengenai petisyen rayuan yang difailkan secara e-filing di Mahkamah Tinggi di sini, pada 4 Januari lalu.
Ia berikutan asas dapatan, Mahkamah Majistret yang menyabit dan menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap bekas suami Ziana Zain itu antara alasan dalam petisyen rayuan difailkan bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, kerana mencederakan tangan anaknya menggunakan rotan.
“Keputusan telah pun dibuat oleh Mahkamah Majistret pada September lalu dan petisyen rayuan ini hanyalah sebagai asas rayuan dalam menjalankan hak perayu yang dijamin undang-undang, dan ia tidak boleh menghalang Mahkamah Tinggi setelah mendengar pihak-pihak pada pendengaran kelak, untuk mengesahkan dapatan terdahulu (Majistret),” tambah peguam itu dipetik melalui Bernama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata pengurusan kes rayuan itu yang sepatutnya ditetapkan tadi, digantikan dengan tarikh pengurusan kes baharu pada 23 Mac depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar.
Untuk rekod, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.
Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin, ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan, berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun.
Penjara lapan bulan: Bekas suami Ziana Zain akan fail petisyen rayuan