Peniaga cakoi mengaku salah miliki senjata, peluru tanpa kebenaran

13/01/2021 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Seorang peniaga kuih cakoi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini, atas tiga pertuduhan memiliki beberapa butir peluru dan senjata berbahaya iaitu sepucuk pistol serta sebilah parang tanpa kebenaran, awal tahun ini.

Kow Peng Han, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norhazani Hamzah dan mahkamah menetapkan 27 Jan ini untuk menjatuhkan hukuman dan bagi pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes.



Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 10 butir peluru jenis 9mm (milimeter) Luger PMC dan sepucuk pistol model SIG Sauer P224 yang kedua-duanya tanpa kebenaran sah, di simpang Jalan Perdana 2/3A, Pandan Perdana di sini, pada 10.45 pagi, 1 Jan lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Kow didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa memiliki sebilah parang panjang berukuran 69 sentimer berhulu warna coklat di tempat awam tanpa kebenaran sah, di lokasi dan masa yang sama, mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Di Mahkamah Majistret Ampang, Kow didakwa mengedar 225.8 gram methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (ekstasi) di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana di sini, pada pukul 9 pagi, 1 Jan lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Tertuduh juga didakwa memiliki MDMA dan methamphetamine (syabu) masing-masing seberat 5.5 dan 3.6 gram di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) serta Seksyen 12(3) akta sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Kow bagi kesemua pertuduhan dadah itu yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad.



Majistret Farah Nasihah Annuar menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Dua lelaki ditahan miliki syabu, ganja



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button