Bank Dunia: Pemulihan ekonomi China turut menyumbang kepada ekonomi dunia
14/01/2021 02:46 PM
BEIJING, 14 Jan — Bank Dunia berpendapat ekonomi China akan menyaksikan pemulihan pada 2021 sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global.
Ketika ditemui pada seminar anjuran Kumpulan Pemikir Globalisasi pada Rabu, beberapa pegawai Bank Dunia menyatakan pemulihan ekonomi di China akan memberi impak lonjakan besar kepada ekonomi global, khususnya di kawasan Asia Timur dan entiti ekonomi baharu.
Menurut mereka, pemulihan ekonomi tetap berlaku meskipun penurunan pelaburan dan peningkatan hutang akibat wabak memberi kesan negatif kepada ekonomi pelbagai negara.
Terdahulu, Laporan Prospek Ekonomi Global terbaru yang dikeluarkan Bank Dunia baru-baru ini memperlihatkan prospek ekonomi global pada separuh pertama 2021 diturunkan susulan krisis kesihatan pandemik COVID-19.
Mengikut unjuran Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China akan mencatat perkembangan sebanyak 7.9 peratus tahun ini.
Sejajar dengan itu, pertumbuhan ekonomi di entiti ekonomi baharu muncul akan mencatat lima peratus lebih tinggi berbanding jangkaan sebelum ini, iaitu 4.6 peratus.
Dalam perkembangan lain, tahun ini kerajaan China memutuskan terus melaksana dasar kewangan yang positif dan dasar monetari stabil.
Kerajaan juga akan memacu inovasi sains dan teknologi, mempercepat langkah penstrukturan semula ekonomi, di samping membentuk paradigma pembangunan baharu bukan hanya merujuk kepada kitaran tunggal berdasarkan pasaran domestik tertutup, sebaliknya melaksanakan ‘dwi kitaran’ iaitu kitaran domestik dan kitaran domestik-antarabangsa yang terbuka dan saling menggalakkan.
Selain itu, pemulihan ekonomi China turut akan menyediakan pengalaman yang boleh diikuti negara lain pasca pandemik COVID-19.
Pemulihan ekonomi global tergugat jika pandemik bertambah buruk – Bank Dunia