Kastam patah cubaan seludup 11 tan kayu Jenis ‘Red Sandalwood’ bernilai RM6.3 juta


Photo Credit Kastam Selangor


Photo Credit Kastam Selangor

15/01/2021 06:18 PM

SHAH ALAM, 15 Jan — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup 11 tan kayu jenis Red Sandalwood (kayu cendana merah) dianggarkan bernilai RM6.3 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata kayu berkenaan diseludup menggunakan sebuah kontena berukuran 20 kaki yang telah diikrar sebagai others household and hand tools (peralatan rumah dan perkakasan tangan).

“Ejen perkapalan yang terlibat sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan mereka bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Latif berkata Red Sandalwood atau nama saintifiknya Pterocarpus santalinus diklasifikasikan sebagai dagangan terancam di bawah Bahagian II, Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Jelasnya, kes penyeludupan berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak duti kastam dan larangan import di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata pihaknya turut merampas sebuah kontena berukuran 40 kaki di pelabuhan sama semalam kerana dikesan membawa satu jenis minuman keras dianggarkan sebanyak 21,600 liter.

“Minuman keras bernilai RM108,000 itu dipercayai belum lulus kastam dan dianggarkan duti cukai sebanyak RM613,440. Ejen perkapalan yang terlibat sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan mereka untuk membantu siasatan,” katanya.

Abdul Latif berkata minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Jelasnya, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengelak duti kastam dan larangan import di bawah Seksyen 135(1) (g) Akta Kastam 1967.

Abdul Latif turut menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan kegiatan itu.

Beliau berkata orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-80088-8855 atau pejabat terdekat di semua negeri.

Leave a Reply