Norizam pilih lokasi luar Kelantan umum pemain musim ini
12/01/2021 08:26 PM
KOTA BHARU, 12 Jan — Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) julung kali akan membuat kelainan pada majlis pelancaran jersi serta pengenalan barisan pemain dan jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan mengadakan majlis tersebut di luar Kelantan.
Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata pihaknya memutuskan The Red Warriors (TRW) Villa Abadi Langkawi menjadi lokasi majlis yang dinanti-nantikan oleh peminat dan penyokong pasukan itu.
“Majlis itu akan berlangsung secara tertutup pada 1 Feb depan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
“Pada masa yang sama, kita mahu memperkenalkan TRW Villa Abadi kepada pemain ke-12 (penyokong) pasukan Kelantan FC,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelantan FC diambil alih sepenuhnya oleh ahli perniagaan berkenaan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Norizam berkata TRW Villa Abadi adalah antara aset Kelantan FC dalam menjana pendapatan jangka panjang pasukan itu.
“Musim ini Kelantan FC akan tampil dengan tiga warna jersi iaitu warna merah akan terus menjadi pakaian ‘keramat’ pasukan dalam mengharungi saingan Liga-M nanti.
“Dua lagi warna tunggu pada majlis itu nanti…jersi tahun ini akan tampil dengan gaya yang lebih segar,” katanya.
Menurut beliau jersi pasukan itu akan dijual pada harga mampu milik kepada seluruh peminat TRW.
“Insy-Allah musim 2021 Zamburger Malaysia Sdn Bhd dan Radio Zamburger akan menjadi penaja utama Kelantan FC,” katanya.