MASUK HOSPITAL – PENGERUSI FINAS ALAMI MASALAH JANTUNG
Selepas mengalami sakit dada dalam tempoh kira-kira seminggu, pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid membuat keputusan berjumpa doktor.
Difahamkan, Zakaria, 56, telah ditahan di Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak, di sini, sejak Rabu lalu akibat masalah jantung.
“Doktor terus membuat pemeriksaan elektrokardiogram (ECG), ‘stress test’, ct-scan dan angiogram. Sekarang saya dalam pemerhatian doktor. Insya-Allah semuanya okay,” katanya.
Sementara itu, perkongsian Zakaria berkenaan situasi kesihatannya di Facebook mendapat reaksi pelbagai pihak antaranya penggiat seni dan kenalan. Mereka rata-rata memintanya berehat dan mendoakan agar dia segera sembuh.
Sejak terpilih menerajui Finas pada 23 Mei tahun lalu, Zakaria dilihat aktif menjalankan pelbagai program termasuk aktiviti luar bagi membantu penggiat seni.