Meta dikenakan denda terbesar 1.2 bilion euro oleh EU

PARIS: Pihak berkuasa perlindungan data peribadi di Ireland semalam memecahkan rekod bagi denda individu apabila menuntut 1.2 bilion euro (RM5.9 bilion) daripada Meta kerana memindahkan data peribadi antara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Kesatuan Eropah (EU), yang meluluskan peraturan data peribadi secara besar-besaran lima tahun lalu, sudah mengenakan denda berbilion dolar tetapi tindakan terhadap Meta adalah yang terbesar membabitkan satu entiti.

Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) yang bertindak bagi pihak EU memaklumkan mereka dipertanggungjawabkan oleh Lembaga Perlindungan Data Eropah (EDPB) untuk mengutip denda pentadbiran itu.

DPC melancarkan siasatan terhadap isu pemindahan data peribadi itu sejak 2020.

“Laporan siasatan mendapati Meta yang mempunyai ibu pejabat di Dublin gagal mengendalikan risiko hak asas dan kebebasan subjek data yang dikenal pasti menerusi keputusan dibuat Mahkamah Keadilan EU (ECJ),” katanya.

Sementara itu, Presiden Hal Ehwal Global Meta, Nick Clegg dan Ketua Pegawai Undang-undang, Jennifer Newstead, menerusi kenyataan di blog memberitahu mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Difahamkan, ia adalah denda ketiga dikenakan ke atas Meta di EU pada 2023, di mana sebelum ini, pengawal selia EU pernah mendenda Meta sebanyak ratusan juta euro atas pelanggaran data perkhidmatan Instagram, WhatsApp dan Facebook.

Antara pelanggaran p[eraturan oleh Meta termasuk pembocoran besar-besaran sekitar 533 juta nombor telefon dan e-mel, salah guna data kanak-kanak serta berulang kali gagal memberi alasan sah di sisi undang-undang berhubung pengumpulan data syarikat itu.

Meta, bersama Google, Twitter dan LinkedIn mempunyai ibu pejabat di Ireland kerana negara itu giat menarik syarikat gergasi teknologi ini dengan menawarkan kadar cukai yang rendah.

Pada 2021, Amazon didenda 746 juta euro (RM3.6 bilion) di Luxembourg kerana melanggar Peraturan Perlindungan Data Am di blok berkenaan.

Antara pelanggaran terbesar Peraturan Umum Perlindungan Data (GDPR) ialah syarikat media sosial Mark Zuckerberg, pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp, yang secara keseluruhan dikenakan denda sekitar 2 bilion euro (RM9.8 bilion).

Google juga tidak terkecuali apabila terpaksa membayar denda 50 juta euro (RM246 juta) dikenakan badan penyelia Perancis kerana tidak telus berhubung peranti operasi mudah alih Android miliknya pada 2019.

GDPR sendiri menjadi sasaran kecaman beberapa badan pemantau perlindungan data, susulan peningkatan kegiatan penggodam mencuri data peribadi jutaan individu.

Beberapa kes turut dirujuk ECJ, termasuk isu sama ada penggodaman bermakna badan kawal selia gagal memenuhi syarat GDPR, namun mahkamah itu belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker