Ranking bola sepak negara naik mendadak – Pemerhati
18/01/2021 06:48 PM
Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 18 Jan — Pemerhati bola sepak tempatan dan ahli akademik Dr Pekan Ramli menyangkal dakwaan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman bahawa ranking dunia pasukan bola sepak negara sedang mengalami penurunan.
Beliau yang juga Ketua Unit Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata meskipun sejak 1993 ranking pasukan negara menurun, namun ia mula menunjukkan peningkatan mendadak sejak 2018 dengan skuad kebangsaan berjaya memperbaiki kedudukan ke-178 pada Mac 2018 kepada ke-153 hari ini.
Katanya, ia membuktikan ranking dunia skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe sedang meningkat dan berada dalam momentum terbaik untuk terus mendaki menyertai kelompok 100 pasukan terbaik dunia.
“Jadi untuk mengatakan ranking skuad kebangsaan menurun adalah tidak tepat serta tidak berfakta. Namun, berdasarkan sistem kiraan mata terbaharu FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dalam ranking, diakui sukar untuk kita melonjak naik terus ke-100 misalnya, itu mustahil,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Sebelum ini, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham secara terbuka mengecam kedudukan ranking dunia pasukan bola sepak negara sambil menyifatkan kedudukan ke-153 itu sebagai memalukan.
Menurut Norizam, skuad Harimau Malaya tidak sepatutnya berada pada kedudukan itu berdasarkan pembangunan dalam aspek bola sepak di negara termasuk pembinaan infrastruktur seperti stadium serta penubuhan beberapa akademi bola sepak.
Pekan berkata situasi pandemik COVID-19 pada masa ini juga menyaksikan usaha skuad kebangsaan meneruskan misi mendaki kedudukan ranking dunia tampak terganggu.
Justeru, beliau menasihatkan supaya Norizam mengeluarkan kenyataan berlandaskan fakta dan tidak terburu-buru dalam mengkritik ranking dunia pasukan negara.
“Secara realistik, berdasarkan peningkatan ranking saya melihat skuad kebangsaan dalam landasan tepat mencapai misi Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan dengan usaha meningkatkan prestasi dan memperbaiki mutu perlawanan, tidak mustahil ranking kita akan terus naik,” katanya.
Dalam pada itu, Pekan mengingatkan agar semua pihak terus kekal positif, bekerjasama dan memandang ke depan dalam memastikan peningkatan serta kejayaan skuad kebangsaan.
“Kita tidak boleh hidup dalam bayangan sejarah silam, kita perlu lihat pada apa yang ada sekarang ini dan bekerjasama dalam meningkatkan momentum Harimau Malaya,” jelas beliau.
Malaysia pernah mencapai Ranking terbaik, kedudukan ke-75 pada tahun 1993.
Pemain badminton Shevon Lai dimasukkan ke hospital kerana denggi