Hilang fokus, kurang keyakinan diri punca Zii Jia tewas di Terbuka Thailand


Lee Zii Jia

20/01/2021 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Hilang fokus serta kurang keyakinan diri setelah lebih sembilan bulan tidak beraksi di pentas antarabangsa, menjadi faktor utama perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia tersingkir awal dari Kejohanan Badminton Toyota Terbuka Thailand di Bangkok, semalam.

Perkara berkenaan diakui sendiri oleh jurulatih perseorangan negara Hendrawan yang mendedahkan pemain berusia 22 tahun itu seolah-olah hilang punca, apabila berdepan tekanan ketika menentang pemain kurang ternama dari India Sameer Verma, sebelum tewas 21-18, 25-27 dan 19-21 pada aksi pembukaan kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 itu.



Hendrawan bagaimanapun berharap, pemain ranking ke-10 dunia itu segera bangkit daripada kekalahan tersebut, dan kembali fokus dalam misinya memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada Julai nanti.

“Lebih kurang sama masalah dihadapi Zii Jia pada dua kejohanan termasuk Yonex Terbuka Thailand pada minggu lalu, di mana dia hilang keyakinan diri dan apa yang dilakukan seperti dia ragu-ragu dengan permainan sendiri (ketika berada di gelanggang),” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

“Kebanyakan lawan dia sudah boleh baca permainan dia dan (lawan dia) lebih berani ajak dia lari ke sana sini di gelanggang, dan kita akan cuba lagi untuk kejohanan seterusnya,” jelas Hendrawan.

Kekalahan Zii Jia menyaksikan Malaysia hanya mempunyai wakil tunggal bagi kategori perseorangan lelaki iaitu Liew Daren pada kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (RM4.044 juta) itu.



Zii Jia sebelum ini tewas 17-21 dan 15-21 kepada pemain ranking kedua dunia Chou Tien Chen dari Taiwan, pada aksi suku akhir Kejohanan Yonex Terbuka Thailand di venue yang sama, minggu lepas.

Terbuka Thailand: Zii Jia dan Soniia terkeluar awal



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button