Kebenaran jalani latihan pusat medan Cheng Hoe bentuk keserasian pemain

20/01/2021 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Keputusan kerajaan membenarkan skuad bola sepak negara menjalani kem latihan pusat secara kuarantin menjadi medan terbaik untuk Tan Cheng Hoe membentuk keserasian dalam kalangan pemain bagi menghadapi baki tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Ketua jurulatih skuad negara itu turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memberi lampu hijau kepada skuad Harimau Malaya untuk meneruskan sesi latihan itu walaupun kerajaan sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik COVID-19.

Pengendali berusia 52 tahun itu berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi merangka persiapan rapi skuad kebangsaan bagi meneruskan kem latihan pusat berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

“Apa pun, dengan kelonggaran untuk kem latihan pusat secara kuarantin ini dibenarkan untuk diadakan, ia sudah tentu memberi peluang kepada kita bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi Mac nanti dengan satu persediaan agak baik,” kata Cheng Hoe menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook FAM hari ini.

Pandangan sama turut disuarakan pemain pertahanan tengah kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang melihat perkhabaran gembira berkenaan menjadi pemangkin semangat untuk rakan sepasukannya meneruskan momentum cemerlang dalam pusingan kelayakan pada kali ini.

“Satu berita gembira kepada kami sebagai pemain apabila dapat kembali berlatih bersama selepas lebih setahun tidak dapat berkumpul. Ia satu perkembangan yang positif kepada pasukan dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin,” jelas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim itu.

Pemain berusia 33 tahun itu turut menyifatkan kem latihan pusat tersebut amat penting untuk barisan pemain yang bakal dipanggil kali ini untuk membentuk keserasian memandangkan beberapa negara lain sudah memulakan kem latihan pusat lebih awal termasuk Vietnam, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Skuad Harimau Malaya dijadual meneruskan aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE di tempat lawan pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.

Malaysia bakal melengkapkan aksi pusingan awal menentang Thailand pada 15 Jun depan di Bangkok.

Semalam, Reezal Merican mengesahkan pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencapai kata sepakat untuk melaksanakan kem latihan pusat skuad kebangsaan di MSN, Bukit Jalil secara kuarantin.

Perkembangan itu menyaksikan skuad kebangsaan bakal menjalani latihan berpasukan yang pertama dalam tempoh lebih setahun sejak kali terakhir barisan pemain dikumpulkan pada November 2019.

Skuad Harimau Malaya kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Leave a Reply