Pelan Induk Digital Lima Tahun ASEAN dilancar
23/01/2021 01:35 AM
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, 22 Jan — Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berakhir hari ini menyaksikan blok serantau itu berjaya melancarkan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) di bawah kepimpinan Malaysia, yang akan merangka landskap digital untuk lima tahun akan datang.
Malaysia, sebagai tuan rumah ADGMIN1, diberi penghormatan menyelaraskan pembangunan ADM2025, Pelan Induk lima tahun bertujuan mempermudah kerjasama serantau dalam memajukan sektor digital di ASEAN.
ADGMIN1 muncul di saat sangat mencabar dan kritikal kerana ekosistem digital semakin penting dalam kehidupan masyarakat dan perniagaan di seluruh ASEAN terutama ketika pandemik COVID-19, dan ADM2025 diharap akan mendorong pertumbuhan ekonomi digital di rantau yang mempunyai lebih 600 juta penduduk.
Ekonomi digital rantau ini bernilai US$ 100 bilion tahun lalu, dan dijangka mencecah lebih US$300 bilion pada 2025, menurut laporan e-Conomy SEA 2020.
ADM2025 yang dilancarkan hari ini menyenaraikan lapan sasaran, termasuk mempercepat pemulihan ASEAN daripada COVID-19, peningkatan kualiti dan liputan infrastruktur jalur lebar, penyampaian perkhidmatan digital bermutu dan pasaran kompetitif yang mampan untuk bekalan perkhidmatan digital.
ADM2025 juga menyasarkan peningkatan kualiti dan tahap penggunaan perkhidmatan e-kerajaan, perkhidmatan digital untuk menghubungkan perniagaan dan menyediakan dagangan rentas sempadan, peningkatan keupayaan perniagaan dan masyarakat dalam ekonomi digital.
ADGMIN1 juga menerima pakai Deklarasi Putrajaya mengenai ‘ASEAN – sebuah Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital’.
Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah secara maya, turut membincangkan beberapa isu berkaitan termasuk keselamatan siber, kerjasama ICT dan pemulihan COVID-19.
ADGMIN1 turut disertai Rakan Dialog ASEAN – China, Jepun, Korea Selatan, India dan Amerika Syarikat – serta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, Menteri ASEAN berharap akan dapat mengukuhkan lagi kesepakatan dengan Rakan Kongsi Dialog dan Rakan Pembangunan bagi meningkatkan kerjasama digital, mengembangkan modal insan, meneroka teknologi baharu dan memperkasa keupayaan menangani risiko ancaman siber.
Menteri ASEAN mengulangi komitmen untuk meneruskan dialog mengenai dasar dan peraturan serta menggesa penyertaan lebih luas daripada sektor swasta bagi membangun prasarana dan perkhidmatan ICT berkualiti.
Menurut Forum Ekonomi Dunia, dengan lebih 125,000 pengguna baharu Internet setiap hari, ekonomi digital ASEAN diramal berkembang pesat, dan diunjur menokok US$1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serantau dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Mesyuarat Menteri Digital ASEAN Kedua dan Mesyuarat dengan Rakan Dialog serta ITU akan diadakan di Myanmar pada penghujung 2021.