BEKAS SUAMI TERSENARAI – ERIN LUAH KECEWA: “DIA TAK CURANG PUN”
“Bukan nak backup sebab masih cinta ke sayang ke tapi sebagai seorang manusia yang ada hati belas kasihan, saya tak sampai hati betul tengok. Baik buruk semua campur hentam semua sekali. Bergurau dengan menjatuhkan maruah orang di media sosial secara berjemaah dengan video-video bodoh ni.
“Yang buat video tulis ciri-ciri lelaki curang tu pergi letak muka ustaz Farhan. Dia tak curang pun. Situasi Shuk dengan situasi Farhan tu tak sama langsung,” demikin tulis Erin yang meluahkan rasa kecewa apabila bekas suaminya, pendakwah bebas iaitu Da’i Farhan dijadikan bahan jenaka dengan isu yang sedang hangat diperkatakan mengenai kontroversi Shuk Sahar.
Erin atau nama sebenarnya Noorainul Naqim Mohd. Radzi yang memuat naik luahan itu menerusi satu perkongsian di laman Instagram itu menyifatkan individu yang menyenaraikan bekas suaminya antara lelaki curang adalah tindakan tidak wajar.
Klik untuk gambar besar
Erin berkata tindakannya mempertahankan bekas suaminya bukan kerana masih cinta tetapi kerana situasi berbeza dimana Da’i Farhan tidak berlaku curang.
Kata Erin lagi, bekas suaminya itu tidak pernah curang dengan isterinya serta menyifatkan Farhan seorang suami yang bertanggungjawab dan adil meskipun ketika bermadu.
“Farhan tak pernah curang dengan isteri dia sampai pergi lepak rumah skandal sampai bini kena melilau tengah malam cari laki. Farhan tu adil sangat sebagai seorang suami dan ayah. Selama dia berpoligami dia tak pernah abaikan tanggungjawab dia kepada pihak sana dan anak-anak dia,” katanya.
Tambah Erin lagi, meskipun video yang dibuat oleh netizen itu hanya gurauan namun ia boleh memberi kesan mendalam terhadap keluarga dan anak-anaknya.
“Yang setia tu sebab tak diuji macam tu, jangan pula sebab korang dok puji-puji sangat yang setia tu menjadi asbab Allah bagi ujian curang pula pada yang setia tu,” ujarnya.
Terdahulu, nama Da’i Farhan menjadi bualan ramai apabila berkahwin di Tanah Suci Makkah dengan Erin yang merupakan ibu tunggal yang memiliki lapan orang anak, namun pasangan itu bercerai pada April tahun lalu.