China: Pelbagai insentif diperkenal galak orang ramai tidak pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina

29/01/2021 11:19 PM

BEIJING, 29 Jan– China pada Khamis mula menyaksikan aliran trafik semakin sibuk selama 40 hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Fenomena itu dikenali sebagai “chunyun” dalam bahasa Mandarin, merupakan tempoh perjalanan paling sibuk apabila rakyat di seluruh China mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Tahun Baharu Cina.



Namun, suasana tahun ini agak berbeza apabila ramai cenderung menyambut perayaan di kediaman masing-masing dan tidak pulang ke kampung, untuk mengelak melakukan perjalanan tidak penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa tempatan dan pengendali perusahaan memperkenalkan pakej insentif sebagai tanda menyokong usaha orang ramai.

Jiangsu, Zhejiang dan Fujian merupakan antara wilayah yang menawarkan subsidi wang secara tunai atau elektronik kepada perantau yang memilih untuk tidak balik kampung.

Selain itu, syarikat-syarikat di beberapa tempat juga bertindak menyediakan bantuan tambahan kepada pekerja.



Selain memperkenalkan pakej insentif, Jinchen Group, syarikat dari wilayah Jiangsu turut menasihatkan pekerjanya menyambut Tahun Baharu Cina di lokasi masing-masing.

“Kebanyakan pekerja kami bersedia untuk kekal di sini. Mereka akan dijemput ke majlis jamuan menjelang sambutan perayaan itu selain menyampaikan ucapan kepada anggota keluarga mereka menerusi panggilan video,” menurut pengarah eksekutif, Tao Xuejun.

Katanya, pekerja akan diberi bayaran tambahan, selain mendapat cuti bergaji selepas penularan wabak reda.

Untuk mengubati kerinduan pekerja kepada kampung halaman, banyak restoran memperkenalkan perkhidmatan baharu dengan menyediakan “tukang masak dari rumah ke rumah”.



Lu Qi, seorang tukang masak dari Dahui Group yang berpangkalan di Nanjing, ibu kota Jiangsu, berkata pihaknya berusaha untuk menyediakan hidangan enak kepada pelanggan di rumah.

“Masak di rumah berbeza sekali dengan masak di restoran. Kami akan berusaha menyajikan hidangan tempatan asli yang sedap, serta menyampaikan ucapan selamat tahun baharu kepada mereka yang memilih tinggal di sini,” jelasnya.

Diaspora Cina bantu jalinan ekonomi, diplomasi China dengan dunia



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button