Kekal fokus berlatih hadapi Sukan Paralimpik Tokyo
Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin
29/01/2021 09:41 PM
KUALA LUMPUR, 29 Jan — Barisan atlet para negara dinasihatkan supaya tidak patah semangat tetapi sebaliknya kekal fokus menjalani latihan seperti biasa untuk persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 Sept depan.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin mengakui, semangat kebanyakan atlet kini agak merudum disebabkan ketiadaan pertandingan akibat penularan pandemik COVID-19, namun menasihatkan mereka supaya terus fokus menjalani latihan untuk berhadapan ujian sebenar yang menanti mereka di Tokyo nanti.
“Kemerosotan prestasi itu kita boleh lihat apabila tiadanya pertandingan, namun jadual latihan yang telah ditetapkan persatuan (sukan masing-masing) serta MSN (Majlis Sukan Negara) dan (barisan) kejurulatihan harus diikuti, dan kita hanya dapat tahu prestasi (sebenar) mereka sekiranya ada pertandingan,” katanya ketika ditemu bual penyampai radio Amar Yusoff menerusi segmen Kawan Luar Biasa: Perkembangan Atlet Para Negara secara dalam talian di Bernama Radio24, Wisma Bernama, di sini, hari ini.
Seramai 10 atlet para negara sudah melayakkan diri ke Tokyo melibatkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting iaitu Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju untuk meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan penularan pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Megat Shahriman memaklumkan MPM sentiasa menjalinkan kerjasama bersama MSN dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan sebagai atlet para memandangkan angka 2,500 yang berjaya digilap ketika ini masih belum mencukupi.
Beliau menjelaskan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 5,000 hingga 6,000 atlet baharu bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan para pada masa akan datang.
Mengambil contoh beberapa negara seperti China, India dan Amerika Syarikat, Megat Shahriman mendedahkan negara-negara berkenaan sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu sebagai atlet para kerana mereka sedar atlet sedia ada akan bersara pada satu hari nanti.
MPM mohon peruntukan tambahan untuk vaksin, suplemen atlet para