Lelaki warga Israel didakwa Jumaat ini

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki warga Israel didakwa Jumaat ini
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

Lelaki warga Israel yang ditahan kerana memiliki enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara pada 27 Mac lalu, bakal didakwa di mahkamah Jumaat ini.

Pendakwaan terhadap Shalom Avitan, 38, itu selepas pasangan suami isteri yang menjual senjata api kepada lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Ya, dia akan dituduh selepas raya, mungkin Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang dipercayai membeli senjata api di Thailand untuk dijual kepada warga Israel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan memiliki senjata api haram.

Bagaimanapun, pasangan itu, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.



Mengikut pertuduhan, Sharifah Faraha yang juga penganggur didakwa didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di alamat No. 183 Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Selangor pada jam 8 malam, 29 Mac lalu.

Sharifah Faraha didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu penjara maksimum 14 tahun.

Bagi pertuduhan ke atas Abdul Azim pula, dia didapati ada bersama dengan Syarifah Faraha yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui bahawa isterinya memiliki senjata api menyalahi undang-undang di alamat, tarikh dan masa yang sama.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading